KUCHING, 30 Dis: Syarikat penerbangan tambang murah, Firefly bakal membuka dua laluan baharu untuk Sarawak iaitu Kuching–Miri dan Kuching–Kota Kinabalu bermula suku kedua tahun 2023.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin optimis penambahan penerbangan daripada syarikat di bawah subsidiari Penerbangan Malaysia itu akan merancakkan lagi kedatangan pengunjung luar ke negeri ini.
“Kami berharap dengan adanya syarikat penerbangan tambahan yang mengendalikan laluan tersebut, ia akan mewujudkan pilihan penerbangan, ketersediaan, tambang penerbangan yang berpatutan dan menarik lebih ramai penumpang untuk melakukan perjalanan dalam dan ke Sarawak,” katanya.
Kim Shin berkata demikian menerusi kenyataan pada Khamis selepas mempengerusikan satu mesyuarat bagi merangka strategi operasi di Sarawak bersama FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly), di sini.
Pada mesyuarat berkenaan, Kim Shin turut mencadangkan agar Firefly memperkenalkan penerbangan dari Pulau Pinang ke Miri.
Menurutnya, terdapat penerbangan terus Pulau Pinang-Miri-Pulau Pinang oleh syarikat penerbangan lain yang diwujudkan sejak beberapa tahun lalu.
Justeru beliau meminta Firefly untuk mempertimbangkan cadangan bagi meletakkan Sarawak dalam rancangan pembesaran laluan domestik dan antarabangsa mereka kelak.
Untuk rekod, Firefly kini mengendalikan laluan Pulau Pinang–Kuching dengan kekerapan 14 penerbangan setiap minggu.
Terdahulu, mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh delegasi Firefly, Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Malaysia Airlines Berhad Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Philip See bagi membincangkan operasinya di Sarawak. – TVS