KUALA LUMPUR, 29 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Perbendaharaan, antara lain bagi membincangkan mengenai Belanjawan 2023.
Pertemuan tersebut diadakan bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, tengah hari tadi di Putrajaya.
“Kami menelaah serta menekuni urusan Perbendaharaan terutamanya soal rakyat dan Belanjawan 2023 yang akan datang, selain menyelesaikan urusan kerajaan sebelum melangkah ke tahun baharu 2023,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul hari ini mengesahkan Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb pada Sidang Pertama Parlimen ke-15, tahun depan.
Belanjawan itu akan dibentangkan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, pada sidang Dewan Rakyat bermula pada 13 Feb. – TVS