KUALA LUMPUR, 29 Dis: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb pada Sidang Pertama Parlimen ke-15, tahun depan.
Mengesahkan perkara itu kepada Bernama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan belanjawan itu akan dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sidang Dewan Rakyat bermula pada 13 Feb.
“Ya benar, Bajet 2023 akan dibentang pada 24 Feb depan…secara keseluruhan, proses pembentangan bajet dan perbahasan termasuk urusan jawatankuasa serta dasar akan mengambil masa 21 hari.
“Notis Mesyuarat Pertama akan dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen kelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Johari berkata persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Feb dengan istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong dan persidangan itu berlangsung selama 29 hari turut melibatkan urusan-urusan kerajaan yang lain.
Johari berkata sidang Parlimen selama dua hari pada 19 dan 20 Nov lepas masing-masing bagi melaksanakan undi percaya terhadap Anwar bagi mengesahkan keabsahannya sebagai Perdana Menteri selain pembentangan peruntukan khas atau Bajet Mini.
Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan peruntukan khas itu bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650 merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.
Sebelum ini, Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Okt lepas sebelum Dewan Rakyat dibubarkan 10 Okt bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15. – TVS