Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bersama kakitangan Mamacare ketika melakukan lawatan kerja ke premis berkenaan di Pusat Tranformasi Bandar di Kuching, hari ini. Foto TVS.

Institusi khas khusus jaga kebajikan kanak-kanak perlu ditubuh

KUCHING, 29 Dis: Sebuah jabatan atau institusi khas untuk kanak-kanak perlu ditubuhkan bagi menjaga kebajikan dan kepentingan golongan kumpulan bawah umur itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan penubuhan jabatan atau institusi khas tersebut sudah di bawa ke peringkat Kabinet dan ia sudah dipersetujui secara dasar.

Katanya, cadangan itu dikemukakan selepas institusi sedia ada memfokuskan kepada pelbagai peringkat umur dan tidak ada jabatan khusus untuk kanak-kanak.

“Pegawai-pegawai kita dalam proses untuk melihat kepada perkara ini supaya ia khusus kepada kanak-kanak sahaja dan supaya kita dapat memfokuskan kepada kebajikan dan kepentingan golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Mamacare di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat satu unit atau bahagian dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menjaga hal ehwal berkaitan kebajikan kanak-kanak di negara ini.

Jumlah kakitangan dalam unit itu menurutnya tidak sepadan dengan populasi kanak-kanak yang mencecah sehingga 9.7 juta orang.

“Bukan kita tidak dapat fokus sepenuhnya kepada perkara tersebut tetapi oleh kerana ia satu unit sahaja dalam JKM maka mungkin itu tidak mencukupi,” katanya.

Ketika ini terdapat kira-kira enam kementerian berkaitan terlibat dalam menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak.

Namun begitu, tiada jabatan atau institusi khas menjaga kebajikan kanak-kanak ditubuhkan dalam kesemua kementerian berkenaan.

Keadaan ini sekali gus menyebabkan berlakunya ketidak seragaman tindakan diambil dalam mengurus dan menjaga kebajikan serta kepentingan kanak-kanak terlibat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan