SARIKEI, 29 Dis: Lebih 100 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menyertai Program Berkhatan Perdana anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang dengan kerjasama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Kuala Rajang.
Ketua Pemuda PBB Kuala Rajang, Mohd Hafizd Mohd Rosley berkata, penganjuran majlis tersebut turut mendapat kerjasama padu pelbagai pihak khususnya ahli Pemuda, sukarelawan dan pakar dalam bidang berkenaan.
Selain menghidupkan semula tradisi katanya, program itu juga memberi manfaat kepada ibu bapa sekali gus meringankan beban mereka.
“Program yang sudah memasuki edisi ke-15 ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sekali gus menyuntik semangat kita untuk meneruskan penganjurannya pada masa akan datang,” katanya pada Program Berkhatan Perdana di Tanjung Manis, semalam.
Beliau berkata, program turut dikendalikan oleh pakar perubatan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.
“Penganjur gembira berpeluang mengisi musim cuti sekolah kanak-kanak ini dengan aktiviti yang berfaedah. Malah, kita juga membantu menceriakan lagi mereka ketika meniti hidup ke alam remaja.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh kerana memberi kepercayaan kepada Pemuda untuk menganjurkannya, begitu juga untuk semua ahli jawatankuasa yang mempermudahkan perjalanan program,” katanya. – TVS