KUCHING, 29 Dis: Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata beliau akan berusaha memastikan Kompleks Sukan Simunjan dapat digunakan.
Ke arah itu, beliau akan berbincang dengan agensi kerajaan berkaitan agar projek itu dapat disiapkan sekali gus memanfaatkan masyarakat setempat.
“Ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 dahulu saya sempat melihat sendiri keadaan kompleks tersebut. Trek larian berada dalam keadaan yang baik dan fasiliti lain seperti tandas, bilik persalinan saya katakan semuanya lengkap.
“Cuma saya kira ia tidak sesuai (tidak mencapai kriteria tertentu) untuk kegunaan orang awam dan pihak agensi perlu melihat perkara ini supaya ia boleh digunakan oleh orang ramai,” katanya ketika berkunjung ke TVS di sini pada Rabu.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada November lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris membangkitkan mengenai projek kompleks sukan tersebut.
Katanya adalah menjadi hasrat golongan belia di kawasan tersebut untuk melihat agar projek ini segera disiapkan.
Dalam pada itu Rodiyah berkata adalah menjadi fokus bagi pusat khidmatnya untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan sukan bagi membolehkan golongan belia mengamalkan gaya hidup sihat sekali gus melahirkan bakat sukan baharu di kawasan itu.
“Bagi saya padang bola di kawasan berkenaan juga belum mencapai standard yang baik dan selamat digunakan oleh masyarakat.
“Oleh yang demikian itu termasuk dalam fokus utama kami untuk golongan belia,” ujarnya.