KUCHING, 26 Dis: Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) segera melaksanakan kerja-kerja membaik pulih benteng yang rosak di Daerah Samarahan akibat air pasang besar pada Sabtu dan Ahad.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata beliau telah meminta para pegawainya untuk meninjau kerja-kerja baik pulih tersebut serta memberikan bantuan bekalan makanan dan air tambahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasannya.
“Saya telah meminta pegawai-pegawai saya untuk meninjau serta memberikan bantuan bekalan makanan dan air tambahan ke PPS mangsa banjir sejak Jumaat sehingga hari ini.
“Pada masa yang sama, saya telah meminta mereka meninjau kerja-kerja baik pulih benteng yang rosak akibat fenomena air pasang besar yang berlaku pada Sabtu dan Ahad,” kata Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya, kebanyakan PPS di Kota Samarahan telah ditutup berikutan keadaan banjir yang kembali reda.
“Syukur, cuaca juga agak baik dalam sehari dua ini dan mudah-mudahan cuaca kekal baik supaya sesi persekolahan pada minggu hadapan dapat dimulakan dengan sebaiknya.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana terdiri daripada Pejabat Residen dan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, PDRM, APM, Bomba, RELA, Pejabat Kesihatan serta semua agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir tempoh hari,” ujarnya. – TVS