Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan sumbangan kewangan kepada NGO pada Rumah Terbuka Krismas Anglikan di Kuching, hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto: TVS

Toleransi tinggi, asas perpaduan kaum dan agama yang kukuh

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 26 Dis: Tahap toleransi tinggi yang diamalkan penduduk berbilang kaum dan agama menjadi asas perpaduan kukuh, sekali gus menjadikan Sarawak contoh perpaduan terbaik di negara ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu dapat dibuktikan menerusi beberapa acara perayaan atau aktiviti harian masyarakat di negeri ini.

“Kita sangat bertuah kerana dapat meraikan Hari Natal dalam persekitaran yang aman damai dengan tahap toleransi yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat di Sarawak.

“Kita harus mempertahan dan melindungi nilai tersebut,” katanya berucap pada sambutan Rumah Terbuka Krismas Anglikan 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta isteri, Datin Amar Doreen Mayang dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar.

Beliau menjadikan gereja di Lutong sebagai contoh terbaik perpaduan antara agama dengan membenarkan orang Islam meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta gereja berkenaan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid bersebelahan.

“Begitu juga sebaliknya, pihak masjid akan membuka ruang parkir untuk orang Kristian pada setiap hari Ahad pula,” katanya.

Abang Johari turut memberikan bukti toleransi tinggi dalam kalangan masyarakat di Sarawak ketika berhadapan penularan COVID-19.

“Apabila ada pesakit di hadapan mata, kita tidak peduli dengan latar belakang pesakit itu. Kita tidak peduli apa kepercayaannya. Tidak kiralah pesakit itu beragama Kristian, doktor beragama Islam atau lain-lain, objektif utama anda adalah untuk memastikan pesakit itu sembuh,” ujarnya lagi.

Kejayaan Sarawak dalam menjulang keharmonian dan perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik telah mendapat perhatian ramai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga beliau melantik anak jati Sarawak, Datuk Aaron Ago Dagang sebagai Menteri Perpaduan Negara dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pada majlis Rumah Terbuka Krismas itu juga, Abang Johari menyampaikan sumbangan kewangan kepada lima badan bukan kerajaan (NGO) bagi membiayai aktiviti mereka. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan