Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Masyarakat Orang Asli di Pos Gob merayu pihak berkuasa mencari  kaedah terbaik bagi membantu 175 pelajar yang dikhuatiri akan terkandas dan tidak dapat memulakan sesi persekolahan 1 Januari ini. Foto: Bernama

Jalan rosak: Masyarakat Orang Asli bimbang anak tidak dapat ke sekolah

ByBernama

GUA MUSANG, 26 Dis: Masyarakat Orang Asli di Pos Gob merayu pihak berkuasa mencari  kaedah terbaik bagi membantu 175 pelajar yang dikhuatiri akan terkandas dan tidak dapat memulakan sesi persekolahan 1 Januari ini, sekiranya laluan menghubungkan perkampungan mereka dengan Gua Musang masih rosak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob, Uda Alang berkata, disebabkan jalan balak rosak dan sebuah jambatan kayu runtuh, sebahagian pelajar terbabit juga tidak pulang ke asrama dan seterusnya tidak hadir pada sesi persekolahan lepas.

Katanya, meskipun terdapat kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membawa pelajar ke sekolah, sebagai ibu bapa mereka tetap memikirkan risiko keselamatan anak-anak yang terpaksa melalui jalan yang rosak.

“Sejak tiga bulan lepas kami berdepan kesulitan untuk keluar ke bandar kerana laluan balak rosak dan Jambatan Blaer yang menghubungkan kampung runtuh.

“Dianggarkan175 pelajar sekolah tinggal di Pos Gob dan kami bimbang untuk membenarkan anak ke sekolah kerana keadaan jalan yang rosak teruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Uda berkata, melihat kepada kesulitan yang bakal dihadapi anak-anak mereka, diharapkan kerajaan dan JAKOA dapat membantu menyediakan pengangkutan udara kepada pelajar sekolah rendah serta menengah di penempatan itu supaya mereka dapat kembali ke Gua Musang untuk memulakan sesi persekolahan.

Sementara itu, Pandak Ngah, 65, berkata sebahagian daripada 175 pelajar itu merupakan mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

“Jarak sekolah yang jauh menyebabkan ramai ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka terutamanya yang masih kecil ke sekolah sejak tiga bulan lepas sehingga mengakibatkan keciciran dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Abdul Aziz Yusoff mengesahkan menerima aduan berkenaan permasalahan tersebut dan akan mengadakan perbincangan dengan JAKOA serta agensi kerajaan yang lain bagi mencari jalan penyelesaian.

“Saya sarankan supaya kerajaan memberi bantuan khidmat helikopter untuk membawa anak-anak Orang Asli ke sekolah rendah atau menengah terutamanya di kawasan pedalaman seperti Pos Gob.

“Ini kerana ibu bapa bersungut tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kecuali jika bantuan helikopter dapat digunakan bagi mengangkut pelajar terbabit,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan