Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tinjauan di pintu masuk TNJTP mendapati para pengunjung cukup teruja menyaksikan limpahan air deras di kawasan tersebut. Foto: Bernama

Air pasang besar di Tanjung Piai jadi tarikan pelancong

ByBernama

PONTIAN, 26 Dis: Fenomena air pasang besar yang berlaku di Taman Negara Tanjung Piai, di sini, terus menjadi tarikan pelancong dan penduduk setempat terutama ketika musim cuti sekolah.

Penolong Pengurus Taman Negara Tanjung Piai, Afendi Abdullah berkata, air pasang besar berlaku sejak 22 Disember lepas dan dijangka berterusan hingga esok dengan ketinggian maksimum 3.6 meter hari ini.

Beliau berkata, fenomena air pasang tersebut bermula pada 10.30 pagi hingga 1 tengah hari, namun pengunjung boleh melihat ketinggian air pasang paras maksimum sekitar 11.15 pagi.

“Pihak Taman Negara Tanjung Piai menyasarkan kehadiran pengunjung dan pelancong hingga hujung tahun ini seramai 150,000 orang, dengan seramai 4,000 pengunjung telah berpeluang menyaksikan fenomena air pasang besar.

“Bagi tahun ini sahaja, hingga November lepas taman negara berkenaan telah dikunjungi seramai 140,000 orang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Cuti-Cuti Malaysia Fun Ride Penghujung Benua Asia Sempena Pesta Air Pasang Besar Tanjung Piai 2022, hari ini.

Hadir sama dalam program itu Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhamad Nasir Pahmi dan wakil rasmi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MDP) Norazali Zainuddin.

Menurut Afendi kebiasaannya fenomena air pasang akan berlaku antara tiga hingga empat kali dalam setahun.

Sementara itu, Muhamad Nasir berkata, bagi fenomena air pasang kali ini pengunjung turut berpeluang menyertai acara sampingan yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia Wilayah Selatan dengan kerjasama Kelab Berbasikal Anak-Anak Malaysia (BAAM) dan Kelab Berbasikal BMX Batu Pahat.

Beliau berkata, aktiviti berbasikal yang pertama kali diadakan itu akan dimasukkan dalam kalender tahunan pelancongan negeri berikutan sambutan yang menggalakkan.

“Seramai 283 peserta dari Malaysia, 12 Indonesia dan lima dari Singapura menyertai acara kayuhan santai sejauh 30 kilometer mengelilingi kawasan Tanjung Piai ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Pasir Gudang, Nur Azzameera Azlee, 32, berkata, beliau mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan sempena Hari Krismas untuk berkunjung ke Tanjung Piai.

“Ini kali ketiga saya ke sini dan kali ini saya bersama keluarga turut meyertai acara kayuhan santai yang dianjurkan, selain tidak melepaskan peluang melihat fenomena air pasang,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan