Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (tengah) bersama pengacara majlis (kiri) dan Presiden Persatuan Kedayan Miri, Mohamad Abdullah Jamin (kanan) menghadiri Persembahan Budaya Bergendang dan Bermukun yang dianjurkan oleh Persatuan Kedayan Miri. Foto:TVS

Bermukun tradisi yang sentiasa dapat sambutan di Sarawak

MIRI, 26 Dis: Aktiviti bermukun atau bergendang antara budaya  tradisi masyarakat di Sarawak yang sering kali mendapat sambutan menggalakkan setiap kali penganjurannya.

Suasana ini jelas dapat dilihat di Wireless Walk Miri pada malam tadi apabila aktiviti yang dianjurkan itu sangat meriah dan gamat dengan persembahan bermukun dan bergendang bagi meraikan perayaan Krismas dan Tahun Baru yang akan datang.

Bersama Mak Gendang yang bergendang di latar belakang, para pengunjung dan pelanggan diajak untuk bermukun dan bertandak bersama para peserta.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni berkata, adat bermukun ini merupakan tradisi yang diadakan di pelbagai tempat di Sarawak dan mendapat sambutan meriah termasuk dari kalangan pelancong.

“Bermukun merupakan satu tradisi yang bukan hanya di Miri, Kuching, Mukah, Sibu, Simunjan dan semua tempat di Sarawak mempunyai adat bermukun.

“Kalau kita dapat lihat di tempat saya di Parlimen Sibuti, aktiviti ini memang cukup meriah selepas kita selesai pandemik COVID-19,” katanya ketika menghadiri Persembahan Budaya Bergendang dan Bermukun yang dianjurkan oleh Persatuan Kedayan Miri malam tadi.

Katanya, beliau akan terus memberi sokongan kepada Persatuan Kedayan Miri bagi meneruskan usaha mempertahankan budaya itu  supaya aktiviti bermukun dapat dijalankan dengan tenang dan harmoni.

“Saya akan terus membantu daripada sudut kewangan dan sambutan. Terima kasih kepada Persatuan Kedayan Miri kerana sangat kuat untuk mempertahankan budaya ini,” ujarnya.

Aktiviti bermukun ini dahulunya diadakan untuk majlis perkahwinan dan berkhatan, kini berlangsung untuk majlis keramaian umum seperti majlis rasmi kerajaan dan karnival.

Persembahan bermukun dan bergendang ini merupakan kali kelima diadakan oleh Persatuan Kedayan Miri pada tahun ini di mana sebelum ini pernah diadakan di Lawas, Brunei dan Sabah serta di Dewan Suarah Miri semasa Festival Seni Budaya Sarawak 2022.

Acara ini dianjurkan secara terbuka kepada orang ramai bagi mengetengahkan budaya bermukun kepada orang ramai terutamanya para pelancong yang berminat dengan budaya Sarawak.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan