Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua dari kanan) ketika mengadakan sesi bersama rakyat di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal di sini hari ini. Foto: TVS

Keputusan kembalikan UPSR, PT3 selepas PPPM 2013-2025 tamat

NIBONG TEBAL, 24 Dis: Keputusan untuk mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan dibuat selepas pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang akan tamat dua tahun lagi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, laporan itu akan menjadi panduan sama ada peperiksaan berkenaan akan dikembalikan semula atau sebaliknya.

Ujarnya, setakat ini pendirian Kementerian Pendidikan (KPM) adalah memperkukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk penambahbaikan, kemajuan dan potensi pelajar berbanding peperiksaan.

“Jika kita tengok PBS ini adalah sebagai proses ansur maju kanak-kanak yang kita lihat secara holistik ia tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja.

“Pendirian KPM sekarang adalah untuk perkukuhkan PBS yang sedia ada melalui pengenalan ujian akhir akademik dan bukan seperti UPSR atau PT3 yang tidak mahu terlalu fokus kepada peperiksaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desakan pelbagai pihak yang meminta peperiksaan UPSR dan PT3 dikembalikan semula selepas dimansuhkan sebelum ini.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal meluangkan masa bertemu rakyat yang menyuarakan pelbagai isu di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen itu di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu berhubung peperiksaan berkenaan perlu melalui proses perbincangan yang panjang membabitkan penglibatan pemegang taruh, guru dan ibu bapa.

“Sebarang keputusan untuk kembalikan peperiksaan kena rujuk kepada fakta dan data, bukan kepada kecenderungan sedia ada.

“Kita faham keprihatinan ibu bapa bila anak-anak tidak ada peperiksaan, tetapi kita sudah melalui proses sangat panjang membuat keputusan memutuskan untuk menghapuskan dua peperiksaan ini,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan