MIRI, 24 Dis: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri kini bersiap siaga dengan melengkapkan kekuatan anggota serta aset dan logistik untuk menghadapi musim banjir yang dijangka akan melanda seluruh Sarawak.
Pemangku Ketua JPBM Zon 6 Miri, Ahmad Nizam Spaiee berkata persiapan dilengkapkan agar dapat membantu masyarakat setempat dari segi tindakan awal di lapangan sekiranya berlaku kejadian banjir di lokasi mereka.
Menurutnya, Persatuan Bomba Sukarela juga akan memberi kerjasama serta membantu pihaknya.
“Kita percaya, respon awal di lokasi kejadian adalah bantuan masyarakat setempat yang terdiri daripada Pegawai Bomba sukarela dan Bomba komuniti,
Kebanyakan mereka ini telah dilatih untuk memberi tindakan awal dan akan memberi bantuan lebih berkesan kepada pihak masyarakat setempat,” katanya.
Tambah beliau, pihak JBPM juga akan memantau kawasan ‘panas’ banjir, lokasi jalan mudah putus dan lokasi tanah runtuh dari semasa ke semasa dengan melakukan rondaan secara kerap terutamanya apabila hujan secara berterusan seperti sekaraang.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menyediakan beg kecemasan ketika banjir berserta barangan yang penting seperti dokumen peribadi, makanan, lampu suluh dan telefon bimbit.
“Selain itu, kit kecemasan dan ubat-ubatan, makanan kering, mi segera dan biskut serta semua jenis makanan berbungkus,” jelasnya maklumat mengenai panduan sebelum, semasa dan selepas banjir boleh dirujuk melalui laman sesawang JBPM negeri Sarawak.
Terdahulu, tinjauan TVS mendapati keadaan kawasan berisiko banjir di daerah itu masih terkawal namun, masyarakat dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya ketika keadaan hujan lebat berterusan. – TVS