SARIKEI, 23 Dis: Tidak sekadar menyediakan peluang ekonomi, Jualan Gerai Krismas di sini menjadi wadah untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan peniaga di tapak jualan.
Sejak dibuka kepada orang ramai bermula Ahad lalu, tapak jualan anjuran Doremart Pasar Borong Sarikei itu menyaksikan sambutan menggalakkan sekali gus menyerikan lagi sambutan Krismas, pada lusa.
Pengurus Pemasarannya, John Ngieng berkata selain platform mempromosikan produk, ia juga berupaya melonjakkan potensi tebingan sungai Sarikei sebagai lokasi tumpuan pengunjung.
“Program ini disertai oleh masyarakat pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan Iban. Mereka bukan sekadar membuka peniagaan tetapi berpeluang mempromosikannya di antara satu sama lain.
“Saya dapat melihat adanya perpaduan dalam beberapa hari ini, mereka membantu antara satu sama lain dan saya merasakan bahawa wujudnya kemesraan dan suasana yang gembira kerana mereka bukan sahaja rapat antara satu sama lain tetapi juga saling membantu,” katanya ketika ditemui TVS semalam.
Menerusi jualan itu, pihaknya berharap pengunjung yang datang dapat menikmati pelbagai acara yang disediakan seperti persembahan muzik, makanan, gerai jualan dan pameran.
Menurutnya gerai-gerai jualan dibuka seawal jam 5 petang hingga jam 10.30 malam bagi membolehkan orang ramai membeli-belah selain merasai persekitaran kawasan itu yang menarik dan selesa.
“Di samping itu, tempat ini memiliki keindahan alam semula jadi yang sangat cantik. Jadi, kami cuba membawakan lebih ramai orang mengenali tempat ini dan menjadikannya sebagai tempat bersantai sambil menikmati muzik dan beriadah bersama rakan-rakan,” katanya lagi.-TVS