KUCHING, 22 Dis: Malam Kebudayaan Panglima Nikosa 2022 menjadi ruangan khas pertemuan rakan strategik Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata rakan strategik terlibat termasuk golongan profesional, penggiat sastera, penggiat budaya dan warisan, ahli Kelab Belia Melayu serta syarikat yang terlibat bersama AKYBMS.
Beliau berkata pelbagai acara kebudayaan yang disusun khas bagi menambah seri di Malam Kebudayaan Panglima Nikosa 2022 seperti deklamasi sajak, lagu puisi dan dendangan syair dalam usaha menyemarakkan lagi warisan seni kebudayaan.
“Acara ini sejajar dengan objektif teras iaitu menyemarakkan warisan seni kebudayaan untuk menuntut bangsa Melayu Sarawak tanpa masalah sosial serta sejahtera di dunia dan akhirat,” katanya ketika berucap sempena perasmian Malam Kebudayaan Panglima Nikosa 2022 semalam.
Tambah beliau, majlis berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan AKYBMS iaitusebelum ini dikenali sebagai Malam Puisi Panglima Nikosa.
“Acara ini juga dikenali sebagai Malam Puisi Panglima Nikosa yang bertujuan untuk memperingati sesebuah novel karya bangsawan pertama di dunia pada tahun 1876 yang bertajuk Hikayat Panglima Nikosa,” katanya lagi.
Hadir sama Pengurus Besar AKBMS Datuk Dr. Sanib Said, Yang Di-Pertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Dr Wan Ali Tuanku Madhi, Ahli Lembaga Penasihat Majlis Seni Sarawak, Sai’ee Driss dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai. -TVS