KUCHING, 21 Dis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada Angkatan Petahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sarawak.
Kunjungan tersebut bertujuan bagi membincangkan perkembangan Perkhidmatan Angkatan Awam Malaysia di negeri ini.
Menurut Pengarah APM Negeri Sarawak, Abdul Wahab Rahim kunjungan itu bertujuan untuk menyampaikan hasrat bagi menubuhkan pusat latihan pertahanan awam.
“Semuanya dalam perkembangan bagi meluaskan perkhidmatan APM di seluruh kawasan Sarawak. Kita juga menyampaikan hasrat kepada Premier Sarawak bagi memanjangkan permohonan untuk mewujudkan pusat latihan pertahanan awam di negeri Sarawak. Beliau menyokong permohonan tersebut.
“Projek tersebut dipanjangkan ke ibu pejabat sekali lagi untuk dipertimbangkan dengan sokongan beliau serta beberapa tapak cadangan. Secara keseluruhan, Premier Sarawak sangat menyokong dan memberi galakan untuk menghantar perkhidmatan pertahanan awam di tahap komuniti,” katanya.
Bagi menampung kemudahan fasiliti yang sedia ada beberapa komponen juga akan turut ditubuhkan di ibu pejabatnya di Demak Kuching.
“Kita memanjangkannya agar adanya komponen latihan, fasiliti sukan mini, fasiliti latihan, blok pentadbiran, blok pentadbiran, blok kediaman dan asrama. Sekarang kita baru membangunkan kawasan latihan seluas dua ekar lebih daripada 19 ekar lebih. Jadi kita bercadang untuk membangunkan sekurang-kurangnya kawasan latihan seluas 10 ekar. Saya menjangkakan kosnya lebih kurang dalam RM100 juta hingga RM150 juta,” katanya lagi.
Beliau juga mendedahkan Premier Sarawak optimis terhadap perancangan pembangunan APM Negeri Sarawak. -TVS