KUCHING, 21 Dis: Pemain industri pelancongan serta pelancong digesa untuk tidak mengambil mudah dan membuat perancangan sebaik mungkin bagi menghadapi bencana banjir.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dennis Ngau menasihatkan orang ramai untuk mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum ini untuk sentiasa berwaspada akan bahana banjir.
“Semestinya kita tak minta perkara tersebut berlaku tetapi, ada masanya perkara (tragedi) akan berlaku,
“Terutamanya ketika kita berkelah di anak-anak sungai, bagi budak-budak atau masyarakat yang jarang berada di pedalaman, benda ini jarang diambil berat, contohnya kalau hujan, kita tidak boleh lalai duduk di atas karangan. Kalau di hulu sana, kalau hujan sudah lebat, ia boleh mendatangkan kepala air, perkara seperti itu akan berlaku,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Fotografi dan Videografi Sarawak di Plaza Merdeka, di sini hari ini.
Ditanya mengenai hasrat penutupan destinasi ekopelancongan Sarawak ekoran bencana banjir, Dennis berkata pihaknya belum mendapat sebarang arahan daripada kerajaan negeri dan meminta pengusaha-pengusaha pelancongan untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor turut menasihati pemain-pemain industri pelancongan di Sarawak untuk menjalankan tanggungjawab sebaiknya terutama mengambil berat mengenai ramalan cuaca yang tidak menentu dan tidak hanya memikirkan mengenai perniagaan semata-mata. -TVS