Beliau yang merujuk maklumat daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) berkata, ini kerana isu gaji permulaan profesion teknikal di negara ini yang agak rendah berbanding negara luar menjadi antara faktor utama golongan muda kurang berminat untuk menceburi profesion tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, BEM telah mewujudkan satu pasukan petugas untuk mengkaji gaji permulaan jurutera di Malaysia.
“Selain itu, usaha yang lebih agresif dan proaktif perlu direncanakan dengan melantik lebih ramai golongan profesion teknikal mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam.
“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disaran melibatkan kalangan profesional teknikal dalam tadbir urus syarikat seperti Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif,” katanya dalam rakaman ucapan perasmian Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2022, hari ini.
Nanta berkata, penguasaan teknologi menjadi pemangkin kepada pembangunan dan modenisasi sesebuah negara dengan golongan muda sebagai pewaris untuk menerajui negara pada masa hadapan.
Justeru, katanya, adalah penting untuk negara memberi pendedahan berkaitan profesion teknikal kepada anak muda demi meneruskan legasi dalam landskap pembangunan negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya maju dan membangun secara mapan dalam era Revolusi Industri 4.0.
Mengenai HPTN 2022, beliau berkata, sambutan yang diadakan pada Disember setiap tahun itu menjadi antara wadah informasi untuk menyebar luas maklumat di samping memupuk minat golongan muda terhadap profesion teknikal.
Bertemakan ‘Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan’, sambutan tahun ini mengambil kira transformasi penggunaan teknologi terkini memandangkan profesion teknikal memberikan sumbangan signifikan kepada kemajuan negara. -TVS