Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Operasi dijalankan dalam keadaan cuaca cerah melibatkan keanggotaan dan aset daripada pelbagai agensi. Foto Bernama.

Tragedi Batang Kali: Bomba tambah anggota pasukan ‘sweeper’ cari mangsa hilang

ByBernama

BATANG KALI, 20 Dis: Keanggotaan pasukan ‘sweeper’ yang dikerahkan ke kawasan sungai berhampiran ‘ground zero’ bagi mencari baki sembilan lagi mangsa insiden tanah runtuh di sini, ditingkatkan kepada 28 orang berbanding hanya tujuh semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pasukan itu terdiri daripada 14 pegawai dan anggota masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pasukan ini akan pergi ke sekeliling kawasan ground zero hingga sungai terdekat iaitu Sungai Kedondong yang melibatkan jarak tiga atau empat kilometer.

“Ini adalah ikhtiar kita untuk meneliti sebarang kemungkinan jika ada mangsa dihanyutkan ke sana (sungai),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hafisham berkata, operasi hari kelima yang bermula kira-kira jam 8 pagi tadi menyaksikan pasukan penyelamat masih berdepan dengan keadaan tanah yang lembik di kawasan ‘ground zero’ selain tidak mengetahui keberadaan sebenar mangsa yang hilang.

“Masalah utama ialah kita tak tahu di mana mangsa dan kerja-kerja pengorekan tanah dan pencarian dibuat berdasarkan data yang ditunjukkan dalam timbunan tanah dan juga dari saksi-saksi,” katanya.

Tragedi tanah runtuh pada jam 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.

Semalam, operasi dijalankan dengan 135 anggota penyelamat dan aset daripada pelbagai agensi termasuk anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9), namun sehingga jam 12 tengah malam semalam, baki mangsa yang hilang masih gagal ditemukan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan