Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang kanvas sementara di tempat tanah runtuh Batang Kali. Foto: Bernama

Jantina bukan alasan berkhidmat sebagai anggota penyelamat tanah runtuh

ByBernama

BATANG KALI, 19 Dis: Faktor jantina tidak menjadikan alasan untuk menjadi anggota penyelamat dan segalanya dianggap cabaran untuk berjaya dalam menjalankan tugas demi agama, bangsa dan negara.

Bagi Pegawai Pasukan Khas Angkatan Pertahanan Awam (PASPA) Leftenan Muda (PA) Amirah Syahirah Mohd Nor, 23, berkata, bertugas bersama anggota lelaki tidaklah janggal baginya tetapi satu tanggungjawab yang harus digalas.

“Sebagai pasukan khas, kami telah dilatih untuk melakukan tugas-tugas khusus tanpa mengira jantina kerana apa jua bentuk bencana atau situasi, haruslah dibantu tanpa memikirkan alasan yang tidak logik,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui ketika bertugas di lokasi kejadian tanah runtuh di Gohtong Jaya, di sini yang beroperasi di situ sejak hari pertama kejadian, Jumaat lepas.

Amirah Syahirah berkata, setelah berhari-hari berada di lokasi kejadian, beliau semakin serasi bertugas bersama pasukan penyelamat dan kesemuanya saling bantu-membantu walaupun baharu sahaja bertemu di lokasi bencana.

Dia bersyukur kerana kerjasama sesama pasukan, walaupun berbeza uniform dan pangkat telah memudahkan tugas yang dilaksanakan bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana berjaya dilaksanakan.

“Sebagai seorang wanita memang agak sukar melaksanakan tanggungjawab berbanding lelaki.

“Sebagai contoh asas untuk ke bilik air, tidur atau mengemaskan diri atau solat kesemuanya memerlukan lokasi yang sesuai tetapi Alhamdulillah mungkin pada hari pertama agak sukar,” katanya.

Beliau berkata, namun semuanya telah ditambah baik dan semua anggota penyelamat mendapat kemudahan yang selesa untuk membersihkan diri dan berehat melepaskan lelah setelah bertugas.

“Saya bersyukur sepanjang perjalanan operasi menyelamat, pihak pengurusan daripada semua pihak pengurusan bencana di lokasi kejadian berusaha memperbaiki kemudahan para penyelamat dan memastikan kesemua kemudahan kami termasuk makan dan minum terjaga,” katanya.

Ditanya sama ada keluarga risau akan penglibatannya dalam PASPA APM, beliau berkata, sebagai anak perempuan, pastinya menjadi kerisauan keluarga kerana bertugas di luar apatah lagi dalam operasi menyelamat.

“Saya telah menjelaskan keinginan saya untuk menjadi penyelamat, yang berisiko untuk sebarang kemungkinan kemalangan dan mereka (keluarga) akur dan merestui kerja yang saya impikan ini.

“Saya ingin menggalakkan kaum wanita juga untuk turut menyertai pasukan penyelamat seperti saya, malah dapat buktikan kita juga mampu menjadi penyelamat yang hebat,” katanya.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada jam 2.42 pagi pada Jumaat lepas di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan