Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu. Foto Douglas Elliot (TVS)

Johari Abdul dilantik speaker Dewan Rakyat baharu

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Dis: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Johari yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mewakili kerajaan mendapat undian 147 undi berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.

Terdahulu Mohd Radzi dicalonkan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin mewakili pembangkang.

Usul pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu dibuat sebaik sahaja Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 bersidang jam 10 pagi ini.

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, beliau menerima surat mencadangkan nama Johari dan Mohd Radzi daripada Anwar dan Hamzah pada 5 Disember 2022.

Oleh kerana terdapat lebih daripada satu cadangan nama, maka undi bersurat oleh semua Ahli Parlimen diperlukan mengikut peraturan mesyuarat 4 (3).

Sebelum ini, Azhar Azizan meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa 18 Disember setelah menyandang jawatan sejak 13 Julai 2020.

Sementara itu, Johari yang mengangkat sumpah sebaik sahaja pelantikannya oleh Setiausaha Dewan Rakyat berkata, pelantikan itu adalah satu penghormatan yang amat tinggi dan amanah besar kepada negara.

“Sesungguhnya saya berikrar berusaha sedaya dan semampu untuk memenuhi amanah yang diberikan ini, segala pengalaman sebelum ini sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, ahli pernigaan, Ahli Parlimen dan ADUN akan turut membantu dalam melaksanakan tanggungjawab berat ini,” katanya.

Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani juga memohon semua Ahli Parlimen menghormati kedudukannya sebagai Speaker atas dasar tanggungjawab dan bukan atas kapasiti peribadi.

Beliau juga berpesan agar Ahli Parlimen menjadikan Dewan Rakyat sebagai platform membina dan menyampaikan pendapat yang molek dan bernas serta menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama berbanding matlamat politik dan peribadi.

Sebaik selesai mengangkat sumpah dan berucap, Johari mempengerusikan mesyuarat dengan meneruskan agenda persidangan iaitu majlis mengangkat sumpah 222 Ahli Parlimen yang memenangi kerusi masing-masing pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15).-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan