LIMBANG, 19 Dis: Warga emas yang cacat penglihatan ditemukan meninggal dunia semalam selepas dilaporkan hilang di kawasan Kampung Pandak pada Sabtu lepas.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan hari ini memberitahu, mangsa Bakar Yusat 70, dijumpai kira-kira jam 12 tengah hari semalam oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Komander operasi SAR memaklumkan bahawa mangsa dijumpai pada jarak 400 meter dari rumah mangsa dan disahkan meninggal dunia.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari semalam yang melibatkan 60 orang terdiri daripada Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), polis dan penduduk kampung sebaik menerima laporan kehilangan mangsa pada Sabtu lepas.
Pada jam 3 petang Sabtu lepas, anak saudara mangsa membuat laporan polis selepas menyedari bapa saudaranya tidak berada di rumah dan rumah dalam keadaan berkunci dari luar sebelum operasi mencari dilakukan kerana bimbang keselamatan serta faktor kesihatan mangsa yang Orang Kurang Upaya (OKU) dari segi penglihatan. –TVS