KANOWIT, 18 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana diraikan rakyat di kawasan itu sempena genap setahun beliau menjadi wakil rakyat.
Majlis sambutan itu dianjurkan Jawatankuasa Kecil kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK) Rumah Unting dan Pusat Khidmat ADUN Ngemah di Rumah Unting, Sungai Mapai di sini, hari ini.
Anyi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak pada 18 Disember 2021.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi di DUN Ngemah yang telah menaruh kepercayaan memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.
“Saya berazam memfokus kepada empat teras pembangunan iaitu pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi dan belia di kawasan ini,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi pembangunan secara lebih terancang Kerajaan Sarawak telah bersetuju dan meluluskan penubuhan Agensi Pembangunan RASCOM (RASDA) yang meliputi kawasan daerah Kanowit dan Selangau.
Di majlis yang sama, Anyi menyerahkan insentif akademik kepada 11 orang penerima yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.
Bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda diberi insentif berjumlah RM1,000 dan RM500 bagi peringkat Diploma.
Beliau juga turut menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada empat orang penerima bantuan tersebut.
Hadir sama ialah isterinya Gelim Utan, Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngemah, Kaunselor Mutang Karani, Ketua Pemuda PRS Ngemah, Stenny Willis, Penyelia Unit UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang dan Penghulu Benet Jentan. -TVS