GEORGE TOWN, 18 Dis: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua bot bersama 11 nelayan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri dalam dua pemeriksaan di Pulau Kendi dekat sini Jumaat lepas.
Pengarahnya, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal peronda APMM yang sedang menjalankan Op Tanjung telah menahan sebuah bot nelayan kelas C milik warga tempatan di kedudukan 71 batu nautika barat Pulau Kendi pada jam 1.50 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan oleh enam nelayan warga Myanmar berusia 35 hingga 50 tahun, yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Razak berkata, pada jam 7.20 malam pula, pihaknya menahan sebuah lagi bot di kedudukan 19.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi dan mendapati lima lelaki warga Indonesia di dalam bot berkenaan.
Beliau berkata, bot itu berpangkalan di Tanjung Balai, Indonesia dan semua nelayan berusia 13 hingga 30 tahun berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia yang sah.
Katanya, 11 lelaki itu bersama bot dan hasil laut yang dirampas dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. – TVS