SUNGAI BULOH, 18 Dis: Seorang ibu yang kehilangan empat ahli keluarganya dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali kelihatan terlalu sedih dan lemah untuk berjalan, malah hampir rebah, selepas proses menuntut mayat mereka di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini.
Beh Su Lee, 59, dari Sabak Bernam terpaksa dipimpin ahli keluarga untuk menuju ke kereta ketika meninggalkan Jabatan Forensik hospital itu.
Wanita itu berkata beliau kehilangan anak perempuan berusia 35 tahun, menantu lelaki (34) dan dua orang cucu iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia enam dan satu tahun, dalam kejadian awal pagi Jumaat itu.
“Semalam saya sudah jumpa (camkan) tiga mayat. Hari ini saya jumpa (cam) lagi satu,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan hospital.
Beberapa minit sebelum Beh keluar dari Jabatan Forensik kelihatan dua buah van syarikat pengebumian meninggalkan jabatan tersebut, dipercayai membawa mayat empat ahli keluarga Beh.
Setakat ini 24 mangsa telah disahkan terkorban dengan sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat. – TVS