KUCHING, 17 Dis: Golongan pencari perkerjaan dinasihat agar tidak mudah percaya dengan tawaran pekerjaan yang menawarkan gaji yang tidak munasabah.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata setiap tawaran sedemikian perlu disiasat terlebih dahulu kesahihannya dengan pihak berkaitan sebelum menyatakan sebarang persetujuan.
Ini kerana tawaran tersebut tegas beliau sering kali disertai dengan perkara yang boleh memudaratkan termasuk penipuan, pemerdagangan dan pemerasan orang.
“Semak, siasat sebelum kita terima sebarang tawaran kerana banyak bentuk ‘scam’ dan penipuan sekarang ini yang perlu kita ketahui.
“Jadi untuk itu eloklah kita menyiasat dengan pihak polis dan sebagainya mungkin dah ada rekod rentetan kejadian ataupun kaedah-kaedah penipuan dalam apa sahaja bidang sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan tujuh rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini, hari ini.
Menurut Fadillah, walaupun sudah banyak peringatan diberikan oleh pihak berkuasa namun insiden berkenaan masih berlaku menyaksikan mangsa yang terlibat merangkumi pelbagai usia.
Beliau berkata, adalah sukar untuk pihak berkuasa mengesan serta menangkap dalang terlibat dalam kegiatan tersebut kerana ia melibatkan proses siasatan yang panjang.
Bagaimanapun, kerajaan katanya akan terus membantu rakyat negara ini yang menjadi mangsa khusus mangsa penipuan pekerjaan di luar negara untuk kembali semula ke tanah air. -TVS