Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin ditemui TVS di Lapangan Terbang Sibu. Foto: TVS

Penerbangan Singapura-Sibu jadi pintu masuk aktiviti perniagaan di wilayah tengah Sarawak

ByFarah Diyana Samsuddin

SIBU, 17 Dis: Penerbangan terus Singapura-Sibu yang disediakan oleh AirAsia akan menjadi pintu masuk aktiviti perniagaan antarabangsa di wilayah tengah Sarawak ini.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin optimis penerbangan terus dari Republik berkenaan juga akan melonjakkan industri pelancongan di sini selepas ini.

“Hari ini (semalam) adalah hari yang bersejarah dari segi penerbangan (Singapura) ke Sibu…ini adalah kali pertama kita mengadakan penerbangan antarabangsa,” katanya.

Kim Shin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan acara semburan air kepada pesawat jenis Airbus A320 bagi penerbangan AK1410 dari Singapura-Sibu di Lapangan Terbang Sibu, jam 6.15 petang semalam.

Menurutnya penerbangan terus berfrekuensi empat kali seminggu itu merupakan peluang pengamal industri perniagaan serta usahawan tempatan menyertai sektor ekonomi di hab antarabangsa itu nanti.

“Penerbangan ini akan diadakan empat kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad…dengan adanya penerbangan terus ini ia akan membantu industri pelancongan di Sibu,

“Mereka boleh menggunakan penerbangan baharu ini untuk menambah aktiviti perniagaan mereka untuk menarik lebih ramai pelancong masuk ke sini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penerbangan terus tersebut merupakan sebuah kejayaan yang dilakar oleh kementeriannya memandangkan sebelum ini hasrat untuk mewujudkan penerbangan berdurasi satu jam 45 minit itu sudah lama diutarakan oleh warga Sibu.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek juga telah memohon perkara ini semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Justeru Kim Shin mendedahkan Kementerian Pengangkutan Sarawak berusaha menjayakan impian warga Sibu dengan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Singapura pada Oktober lalu.

“Sibu sudah lama minta penerbangan terus ini..Kementerian Pengangkutan Sarawak berusaha dengan gigih dan sukacitanya hari ini (semalam) ia menjadi kenyataan,” katanya lagi.

Melihat sambutan diluar jangka, Kim Shin berharap momentum penerbangan tersebut akan ke arah positif serta merancakkan ekonomi di sini.

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found