PUTRAJAYA, 16 Dis: Rakyat Sarawak menaruh harapan terhadap Kerajaan Perpaduan untuk memajukan negara ini dan dihormati negara lain, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpengalaman luas dipercayai dapat meneruskan agenda pembangunan yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.
“Saya doakan negara kita dalam keadaan yang aman dan kita yang telah menandatangani perjanjian (antara parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan) ini akan terus berusaha membangunkan negara dengan dasar-dasar yang boleh memacukan pembangunan kita dengan teratur,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di sini, hari ini.
Lima gabungan politik utama – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) – yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.
Dalam pada itu, pada sidang media yang sama, Anwar menyatakan komitmennya dalam menyelesaikan tuntutan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, hal membabitkan kewangan di Sarawak sedang dirangka oleh Kementerian Kewangan dan akan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof untuk dipengerusikannya.
“Mana yang boleh dilaksanakan (tuntutan MA63), saya beri tempoh satu bulan. Hal menyangkut kewangan umpamanya juga jadi isu besar di Sabah dan Sarawak, soal kuasa untuk luluskan projek dan juga pengiktirafan kepada tenaga jentera di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata hal berkaitan dengan pindaan peraturan atau undang-undang akan mengambil lebih masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan sidang Parlimen. – TVS