Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: PMO

Kerajaan akan pastikan reformasi struktur ekonomi yang teratur – PM Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Kerajaan akan mengambil langkah dan pendekatan antara lainnya menarik pelaburan yang berkualiti, beralih kepada ekonomi rendah karbon, mempertingkat perlindungan sosial dan memantapkan daya tahan fiskal bagi memastikan reformasi struktur ekonomi negara dapat dijelmakan dengan teratur.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah-langkah ini adalah bertujuan untuk merancakkan pertumbuhan serta memperkukuh asas ekonomi negara.

“Insha-Allah, langkah-langkah ini akan dilaksanakan dengan dukungan Bank Negara Malaysia (BNM) dan semua jabatan yang berkaitan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu hari ini Perdana Menteri bersama kedua-dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim serta para pegawai kanan kementerian berkunjung ke bank pusat untuk mendengar taklimat mengenai prospek, cabaran serta tumpuan dasar ekonomi negara pada masa ini.

Anwar berkata semasa taklimat tersebut BNM memaklumkan mengenai keadaan ekonomi negara yang kembali mengukuh pasca pandemik COVID-19.

“Namun, kerajaan mesti memikirkan cabaran semasa kepada ekonomi negara dengan mengambil kira risiko seperti pertumbuhan global yang lembab, konflik dan masalah geopolitik di peringkat antarabangsa yang terus memburuk serta gangguan kepada rantaian bekalan makanan.

“Kerajaan akan bertindak segera dengan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mendepani permasalahan ini,” katanya.

Sementara itu, BNM menerusi ciapan di laman Twitter rasminya berkata pihaknya juga menggariskan kepentingan pembaharuan struktur supaya Malaysia dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan yang menghasilkan pendapatan yang baik untuk rakyat dan mengukuhkan sistem perlindungan sosial negara.

“Dengan cabaran yang kita hadapi kini, Malaysia perlu memberikan keutamaan untuk menjamin masa hadapan, sama ada melalui ekonomi digital atau peralihan yang teratur kepada ekonomi yang lebih lestari.

“BNM akan terus melaksanakan mandat bagi menggalakkan ekonomi yang lebih mampan untuk Malaysia,” kata bank pusat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan