PUTRAJAYA, 15 Dis: Satu majlis menandatangani perjanjian bagi menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada Jumaat, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Menurutnya, perjanjian itu akan ditandatangani ketua-ketua parti yang sedia bekerjasama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November lepas.
Beliau yang juga Naib Presiden Kanan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata perincian mengenai kandungan perjanjian itu akan didedahkan selepas majlis berkenaan.
“Salah satu keutamaan kita adalah berhubung kait dengan kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) di sini pada Khamis.
Sementara itu di KUCHING, Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata GPS akan menandatangani perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung di ibu negara.
“GPS telah melihat draf dimajukan kepada kami daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perjanjian persefahaman untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, perjanjian itu akan ditandatangani di Kuala Lumpur bersama-sama dengan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Terdahulu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempengerusikan mesyuarat GPS. – TVS