KUCHING, 15 Dis: Menjaga dan memelihara kebersihan dan kesejahteraan alam sekitar merupakan ciri-ciri masyarakat matang dan berbudaya tinggi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, isu kelestarian alam sekitar merupakan penanda aras bagi Sarawak dalam cita-citanya untuk menjadi menjadi sebuah wilayah yang maju.
“Kemampanan alam sekitar adalah asas dalam perancangan 10 tahun Sarawak untuk beralih kepada tenaga bersih dan mencapai sasaran karbon sifar bersih,” katanya ketika berucap pada Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak ke-10 pada malam Rabu.
“Komitmen ke arah kelestarian ini dapat dilihat melalui usaha untuk mentransformasikan Sarawak sebagai hab hidrogen Asia, penjanaan tenaga boleh diperbaharui menggunakan kuasa hidro dan tenaga solar, inisiatif penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan juga pasaran karbon sukarela,” tambahnya.
Tambah beliau, setiap lapisan masyarakat harus memainkan peranan dalam menjaga kelestarian alam sekitar kerana ia adalah satu daripada tunjang utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Sarawak 2030, selain inovasi dan keterangkuman.
Abang Johari berkata, fokus terhadap isu kelestarian alam sekitar akan membuka lebih banyak peluang pelaburan hijau ke Sarawak. Ini sekali gus akan memacu ekonomi Sarawak.
Beliau menekankan sokongan semua pihak bagi merealisasikan Sarawak sebagai wilayah hijau, bersih dan sihat.
Dalam pada itu, bertemakan ‘Redefining Sustainability in Environmental Stewardship,’ Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak, bertujuan mengiktiraf usaha sektor industri dan individu yang mendukung inisiatif hijau.
Edisi ke-10 anugerah itu, memperlihatkan penyertaan tertinggi setakat ini iaitu 144 penyertaan.
Enam penerima anugerah utama ialah Petronas Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak) untuk Fasiliti Bersepadu Bintulu bagi kategori Perusahaan Besar, Shin Yang Sdn Bhd untuk Unit Pengurusan Hutan Linau (kategori Perusahaan Sederhana), Dewan Bandaraya Kuching Utara (kategori Pihak Berkuasa Tempatan), Lembaga Pelabuhan Miri (kategori Sektor Kerajaan), Dato Chris Chung Soon Nam (kategori Terbuka) dan The Round Tower 1886 Cafe & Restaurant (kategori Premis Makanan). – TVS