Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia Iskandar Mirza Mohd Yusuf ketika berucap merasmikan program Jerayawara Bersama Penggiat Industri Pantai Timur, di sini hari ini. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

Jerayawara ‘Jom ke Sarawak’ rancakkan kembali sektor pelancongan

BySalasiah Safian

KUCHING, 14 Dis: Program Jerayawara ‘Jom Ke Sarawak’ siri pertama yang diadakan di Wilayah Timur iaitu Kota Bharu, Kelantan dan juga Wilayah Utara di Pulau Pinang pada bulan Mei lalu berjaya meraih potensi nilai jualan melebihi RM500,000.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusuf, program tersebut telah disertai oleh agensi pelancongan, agensi kerajaan dan pemilik produk pelancongan.

Tambahnya, setelah melihat kejayaan program tersebut, ia diteruskan pula ke Kuching yang bertujuan untuk mempromosikan produk dan pakej pelancongan terkini di Wilayah Pantai Timur ke pasaran Sarawak.

“Objektif program ini adalah untuk mewujudkan jalinan rangkaian bagi penggiat industri dari tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan Sarawak.

“Program ini merupakan platform terbaik bagi menjalinkan kerjasama dan perbincangan perniagaan bersama penggiat industri pelancongan di Sarawak dalam usaha merancakkan kembali aktiviti-aktiviti pelancongan di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jerayawara Bersama Penggiat Industri Pantai Timur di sini, hari ini.

Katanya, pada masa kini perubahan arah aliran atau trend rakyat Malaysia lebih tertumpu kepada produk yang berkonsepkan alam semula jadi, experiential tourism, instagramable dan gastronomi.

Sehubungan itu, inisiatif Tourism Malaysia menganjurkan sesi perniagaan ke perniagaan bagi memberi ruang untuk mengadakan perbincangan secara terus dalam membangunkan pakej-pakej baharu Wilayah Timur yang bakal dipromosikan di Sarawak.

“Oleh itu, saya berharap agar sesi B2B sebentar lagi akan menjadi satu sesi yang berjaya dan memberikan pulangan yang menguntungkan untuk kedua-dua pihak,” ujarnya.

Menurut Survei Pelancongan Domestik 2021 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah ketibaan pelancong domestik pada 2021 turun sebanyak 49.9 peratus dengan mencatatkan seramai 66 juta pelancong berbanding 131.7 juta pelancong pada tahun sebelumnya dan merosot sebanyak 72.4 peratus jika dibandingkan sebelum pandemik COVID-19.

Perbelanjaan pelancongan domestik pada 2021 juga menurun sebanyak 54.5 peratus kepada RM18.4 bilion berbanding RM40.4 bilion pada 2020. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan