Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Permintaan terhadap minyak sawit negara menyaksikan peningkatan memberangsangkan,

Industri sawit masih terjerumus dalam jurang permintaan-penawaran tenaga kerja pada 2022

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Tahun 2022 menandakan sudah tiga tahun industri minyak sawit Malaysia dihimpit isu pengambilan pekerja berikutan situasi negara ini yang sedang menjalani fasa peralihan ke endemik COVID-19 selain berdepan risiko geopolitik, meskipun permintaan dan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi.

Pengeluaran, stok dan eksport menunjukkan sedikit pemulihan walaupun pada kadar lebih rendah.

Mungkin prestasinya lebih tinggi seandainya isu tenaga buruh yang diperlukan dalam perladangan sawit dapat diselesaikan.

 

Derap Permulaan yang Mapan

 

Industri ini memulakan perjalanan 2022 dengan derap momentum yang kukuh, apabila harga MSM dan hasil eksport tinggi sejak 2021.

Bagaimanapun, tatkala menjelang Februari, ia ditekan supaya dapat memenuhi permintaan berikutan perang Rusia-Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan global minyak bunga matahari.

Rusia dan Ukraine secara bersama menyumbang kira-kira 75 peratus minyak bunga matahari, minyak masak utama bagi kebanyakan bahagian di dunia.

Ketika seluruh dunia menyimpan stok minyak makan ekoran inflasi makanan global yang memuncak, Indonesia selaku pengeluar dan pengeksport minyak sawit nombor satu dunia pula mengumumkan keputusannya untuk menyekat eksport minyak sawit pada April bagi memastikan ketersediaan produk itu di peringkat domestiknya.

Ini mendorong harga MSM Malaysia mencecah rekod tertinggi RM6,873 satu tan pada Mei, dengan stok minyak sawit berada di bawah dua juta tan manakala eksport meningkat 2.8 peratus kepada 11.47 juta tan daripada 11.15 juta tan pada separuh pertama tahun ini.

Euforia itu malangnya hanya sementara.

Tiga minggu kemudian, Indonesia menarik balik sekatan eksport minyak sawitnya.

Dalam perkembangan lain, Indonesia dan Malaysia tidak mengendahkan persaingan antara satu sama lain demi kepentingan nasional dengan memperjuangkan kedudukan minyak sawit.

Kedua-dua negara — di bawah naungan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) — sebagai pengeluar dan pengeksport minyak sawit pertama dan kedua terbesar dunia, secara agresif mengadakan libat urus dengan Kesatuan Eropah (EU) berhubung dakwaan tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit yang kononnya menjadi punca utama pembasmian hutan.

Baru-baru ini, perjanjian sementara mengenai Cadangan Suruhanjaya Eropah untuk Peraturan Produk Bebas Pembasmian Hutan telah dicapai namun Malaysia akan terus terlibat dengan EU mengenai peraturan baharu dan undang-undang pelaksanaan masa hadapan.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), langkah itu bertujuan memastikan peraturan terbabit tidak bersifat diskriminasi dan pergantungan kepada Minyak Sawit Mampan Malaysia adalah pematuhan dengan keperluan daya maju.

Kerajaan Malaysia juga secara rasmi telah meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 30 Sept, 2022 dan dijangka memperluaskan akses kepada pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru yang tidak diliputi oleh sebarang bidang perdagangan bebas sedia ada.

Selain meningkatkan eksport minyak sawit ke pasaran itu, penghapusan tarif dijangka meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di negara anggota CPTPP.

Pasaran eksport utama Malaysia secara tradisinya ialah India, China dan EU namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sektor ini secara proaktif berusaha untuk menembusi dan memacu pertumbuhan dalam pasaran baharu, termasuk di Timur Tengah.

 

Pengeluaran MSM, Stok, Eksport serta Harga

 

Berdasarkan data Oktober 2022 oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran MSM Malaysia tahun ini bagi tempoh Januari hingga Oktober menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tempoh yang sama 2021.

Menurutnya dalam tempoh tersebut, pengeluaran MSM negara adalah 15.15 juta tan atau meningkat 0.8 peratus daripada 15.03 juta tan yang direkodkan pada tempoh sama 2021.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata bagi tahun ke tahun, stok minyak sawit pada Oktober 2022 meningkat 0.57 juta tan atau 31.0 peratus kepada 2.40 juta tan daripada 1.83 juta tan pada Oktober 2021, dipacu oleh pengeluaran MSM yang lebih tinggi dan import minyak sawit masing-masing sebanyak 0.8 peratus dan 5.0 peratus.

“Selain itu, stok minyak sawit pembukaan yang lebih tinggi pada awal 2022, meningkat 0.35 juta tan atau 27.6 peratus daripada jumlah stok minyak sawit pembukaan pada 2021, turut menyumbang kepada stok minyak sawit yang lebih tinggi pada Oktober 2022 berbanding Oktober 2021,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam tempoh 10 bulan tahun ini, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain telah meningkat sebanyak 1.8 peratus kepada 20.14 juta tan daripada 19.79 juta tan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Harga minyak sawit yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut juga telah mempengaruhi jumlah hasil eksport, yang meningkat kepada RM110.75 bilion daripada RM80.40 bilion pada Januar hingga Oktober tahun lepas atau melonjak sebanyak 37.7 peratus.

Eksport minyak sawit sahaja meningkat 0.4 peratus kepada 12.73 juta tan pada Januari hingga Oktober tahun ini daripada 12.68 juta tan sebelumnya.

Susulan harga yang lebih tinggi, hasil eksport minyak sawit meningkat ketara sebanyak 36.3 peratus kepada RM73.58 bilion daripada RM54 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.

Harga MSM sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini diniagakan lebih tinggi sebanyak 23.1 peratus atau meningkat RM988.00 kepada RM5,264.50 satu tan berbanding RM4,276.50 satu tan pada tempoh sama tahun lepas, dipengaruhi oleh harga minyak kacang soya yang lebih tinggi dan harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh dalam pasaran dunia.

Ahmad Parveez berkata harga yang bertambah baik itu juga disebabkan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjadikan harga minyak sawit lebih kompetitif berbanding minyak pesaing lain.

Bagi sepanjang tahun, harga MSM dijangka mencecah purata RM5,000 satu tan, meningkat 13.5 peratus daripada RM4,407 satu tan pada 2021, ekoran krisis Rusia-Ukraine, kekurangan tenaga kerja dan permintaan terhadap minyak sawit yang kukuh.

Pengeluaran diunjurkan menokok sebanyak 2.1 peratus kepada 18.50 juta tan pada 2022 berbanding 18.12 juta tan pada 2021, memandangkan kawasan penanaman yang mencapai tempoh matang dijangka bertambah dan keadaan iklim yang menggalakkan.

 

Kekurangan Tenaga Kerja yang Teruk

 

Industri minyak sawit Malaysia sedang dihimpit pelbagai cabaran dan ia dijangka berterusan pada tahun depan.

Halangan besar pastinya kekurangan tenaga kerja, yang telah menjadi isu berterusan dalam perladangan kelapa sawit.

Situasi kekurangan tenaga buruh yang teruk bukan sahaja mengganggu proses penuaian malah juga menjejaskan program pembajaan di ladang-ladang kerana pekerja sedia ada pada masa itu dialihkan untuk memberi lebih tumpuan kepada penuaian.

“Memandangkan penggantungan sementara pengambilan pekerja asing telah ditarik balik tahun ini, pengeluaran dijangka bertambah baik. Walau bagaimanapun, jika program pembajaan terganggu, ini mungkin mengehadkan peningkatan pengeluaran kerana kesan pembajaan secara amnya hanya dapat dilihat selepas 16 hingga 18 bulan,” jelas Ahmad Parveez.

Beliau berkata kekurangan tenaga kerja dalam industri kelapa sawit telah mendorong pengeluaran MSM yang jauh lebih rendah daripada  kemungkinan senario perniagaan seperti biasa iaitu hampir 20 juta tan.

“Langkah untuk menggantikan tenaga kerja dengan penjenteraan tidak pernah mudah kerana ladang kelapa sawit berbeza antara satu sama lain, terutama dari segi bentuk muka bumi.

“Penjenteraan, bagaimanapun, masih boleh dilakukan dan berfungsi bagi aktiviti tertentu dalam operasi kelapa sawit,” katanya.

Menurut Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) jumlah pekerja asing yang dianggap aktif dalam sektor perladangan sehingga 30 Sept adalah 150,608 pekerja.

Presidennya, Jeffrey Ong berkata apabila jumlah kawasan tanaman kelapa sawit Semenanjung Malaysia seluas 2.6 juta hektar diterjemah kepada bentuk nisbah tenaga kerja kepada tanah, ia adalah 1:17.

“Tiada ladang sawit boleh beroperasi secara mampan jika melebihi nisbah 1:14 terutama jika mereka tidak melakukan atau tidak boleh memggunakan jentera,” katanya.

Beliau juga berkata pihak berkepentingan berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempercepat proses pengambilan tenaga kerja asing.

“Hasil mereput dan kerugian berterusan,” keluhnya.

 

Prospek

 

Isu pekerja seandainya tidak diakhiri, ia akan memberi kesan buruk kepada industri.

Cuaca hujan La Nina juga akan terus membawa cabaran kepada pengeluaran seperti yang berlaku sejak tiga tahun lepas.

Dalam pada itu pusat ramalan Pentadbiran Oceania dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS melaporkan terdapat 91 peratus kemungkinan fenomena La Nina berlaku dari Disember 2022 hingga Februari 2023, dan ia boleh menjejaskan kualiti minyak sawit, memperlahankan tahap pengeluaran dan stok namun mungkin memberi dorongan kepada harga.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) keadaan La Niña yang sedang berlaku ini dijangka berterusan sehingga Februari 2023 dengan kebarangkalian 76 peratus.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa pula meramalkan cuaca kembali kepada keadaan neutral pada awal 2023, menunjukkan La Nina yang agak singkat.

“Pada masa yang sama, saya berharap Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu, Datuk Seri Fadillah Yusof menyedari keperluan mendesak dan menyelesaikan masalah kekurangan buruh yang berlanjutan dalam industri sawit.

“Jika kerajaan dapat menyelesaikannya, maka kita boleh menjangkakan pengeluaran yang lebih tinggi dan harga lebih rendah. Bekalan sudah berada pada tahap tertinggi dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau juga berkata mata wang tempatan diunjurkan menjadi lebih kukuh dengan terbentuknya kerajaan baharu, menjadikan eksport mahal.

Walau bagaimanapun, ini mungkin diimbangi oleh harga sawit Indonesia yang lebih tinggi yang didorong levi dan cukai, katanya.

Turut senada dengan beliau adalah Penyelidikan MIDF yang mengunjurkan ringgit bergerak lebih tinggi dengan jangkaan unit tempatan mencecah purata yang lebih kukuh iaitu pada RM4.30 berbanding satu dolar AS di samping mengakhiri 2023 pada RM4.23.

Cabang penyelidikan MIDF itu menjangkakan harga komoditi kekal tinggi walaupun wujud normalisasi dan mengunjurkan MSM berada pada purata RM3,500 satu tan.

Mengenai permintaan belian pada 2023, Sathia menjangkakan kelembapan adalah berpunca dari China.

“Ini mengenai permintaan terbesar pada 2023. Bilakah China akan membuka semula (dan menamatkan dasar sifar COVID)?,” katanya.

Bagi unjuran harga dan pengeluaran, beliau berkata pengeluaran MSM pada 2023 adalah di antara 18.20 dengan 18.50 juta tan berdasarkan tiada pengurangan penggunaan baja, terutama dalam kalangan pekebun kecil, tiada kesan cuaca yang buruk dan penambahbaikan situasi bekalan tenaga kerja.

Harga bagi niaga hadapan MSM pada bulan aktif berkemungkinan besar lebih tinggi iaitu pada paras RM4,000 hingga 4,200 satu tan terutama dengan peningkatan pengeluaran secara perlahan-lahan mulai  Disember hingga akhir suku pertama 2023. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan