KUCHING, 13 Dis: Mangsa kebakaran lima rumah di Kampung Pulo dan Semarang dipertimbangkan untuk ditempatkan di projek perumahan Darul Hana Fasa Pertama di sini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kebajikan 44 penghuni dalam kebakaran pada awal pagi Isnin menjadi keutamaan pihaknya sekarang.
“Apa yang menjadi keutamaan kita ialah, tempat tinggal mereka, kerana kita ada rumah di Darul Hana yang boleh menempatkan keluarga ini, maka itu yang akan kita usahakan.
“Memang sudah ada peruntukan untuk Kampung Pulo dan Kampung Semariang juga sudah dibayar pampasan,dan terdapat beberapa keluarga juga sudah mula mendiami Darul Hana.
“Saya sendiri akan berbincang dengan pihak bertanggungjawab untuk mempercepatkan proses ini,” katanya ketika ditemui pada majlis ringkas penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menyerahkan bantuan berupa tilam, pakaian harian, peralatan persekolahan, peralatan dapur, dan wang tunai kepada mangsa-mangsa kebakaran. – TVS