AUSTRALIA, 11 Dis: Tidak mampu diungkap dengan kata-kata dan hanya Tuhan tahu betapa gembira kami pada saat itu.
Itulah luahan kegembiraan, Pegawai Ketiga Perkapalan, Rajuni Riji, 32, yang berjaya merakamkan aksi sekumpulan ikan paus ketika kapal kargo yang dinaikinya melalui Lautan Pasifik, berhampiran Pantai Brisbane Australia pada petang Sabtu.
Bagi anak muda yang berasal dari Kampung Tekajong, Pulau Bruit Daro ini, ia merupakan detik paling berharga sepanjang pengalamannya bekerja sebagai anak kapal sejak tujuh tahun lalu.
“Kami berjaya merakam video ini sewaktu melalui Lautan Pasifik, kira -kira jam 4 petang semalam. Saya sangat teruja kerana ini pengalaman pertama saya menyaksikan sendiri raksasa laut ini di depan mata. Walaupun sempat merakamnya pada jarak jauh namun, itu merupakan detik paling berharga dan mungkin jarang dirasai pelaut seperti kami apatah lagi, saya yang berasal dari kampung. Menyaksikan sendiri mamalia laut ini menyedarkan saya terhadap keindahan dan keajaiban alam ciptan Tuhan,” katanya.
Beliau berkata, dia dan rakan-rakannya menyedari kehadiran mamalia laut itu selepas ternampak sesuatu yang berwarna hitam timbul di atas permukaan laut sebelum sempat mengambil kamera untuk merakamnya.
Tambahnya, perasaan teruja semakin membuak-buak apabila melihat haiwan tersebut menghampiri kapal mereka dan menjadi kenangan paling berharga apabila detik manis itu sempat diabadikan walaupun hanya berlaku dalam beberapa saat.
Tidak mampu diungkap dengan kata-kata dan hanya Tuhan tahu betapa gembira kami pada saat itu.
— TVS (@tvstvmy) December 11, 2022
Itulah luahan kegembiraan, Rajuni Riji, 32, yang berjaya merakamkan aksi sekumpulan ikan paus ketika kapal kargo yang dinaikinya melalui Lautan Pasifik.
📽 TVS#TVS122 #TVSNews pic.twitter.com/ShI6bagyq1
“Berdasarkan pemerhatian kami dari atas kapal, mamalia laut ini bergerak secara berkumpulan lebih daripada seekor dan mungkin mereka berhijrah dari satu lautan ke lautan yang lain. Saya bersyukur berpeluang menyaksikan keajaiban alam ini dan detik keemasan itu turut saya kongsikan bersama keluarga di kampung. Selain ikan paus, sebelum ini kami juga pernah merakam aksi kumpulan ikan lumba-lumba yang bergerak dalam jumlah besar,” katanya berkongsi pengalaman bersama TVS pada hari ini.
Anak bongsu daripada lima beradik itu mempunyai pengalaman luas sebagai anak kapal dan pernah merentasi beberapa lautan dunia termasuk Australia, Thailand, Andaman, Lautan Pasifik dan Laut Sulu.
Sebagai pelaut, katanya, dia pernah berdepan cabaran apabila terpaksa menempuh ombak besar ketika melalui Lautan Filipina.-TVS