KUCHING, 10 Dis: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof perlu memainkan peranannya dalam memperkukuh hubungan integrasi nasional membabitkan tiga negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dalam pelbagai konteks termasuk politik dan ekonomi.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dato Dr Jeniri Amir berkata, hubungan yang baik ketiga-tiga wilayah ini menjadi kunci utama meletakkan kedudukan Malaysia setaraf dengan negara-negara maju lain.
“Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau bukan sahaja dapat memainkan peranan dengan lebih efektif dalam menangani isu berkaitan MA63 tetapi juga dalam usaha merapatkan jurang tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dari segi infrastruktur, politik, sosial, pendidikan dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Katanya, hubungan integrasi nasional antara negeri-negeri ini seolah-olah diabaikan sekian lama, maka dengan pelantikan Fadillah sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau diyakini akan meletakkan negara di hadapan.
“Hubungan yang baik antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia juga akan memantapkan lagi sistem federalisme atau Kerajaan Persekutuan negara,” ujarnya.
Mengulas mengenai tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah keluar daripada parti tersebut, beliau berkata, parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini memiliki kebebasan dalam mencorak dan melakar hala tuju politik sendiri.
“Pemimpin partinya iaitu Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengambil kira kepentingan parti dan rakyat negeri dengan membaca dan mentafsir makna landskap politik di Sabah selain memahami implikasinya terhadap Sabah dan Kerajaan Perpaduan.
“GRS yang kini entiti politik tempatan bebas dapat memastikan mereka bersuara dengan lebih lantang tanpa terikat dengan perikatan atau gabungan dari Semenanjung Malaysia yang boleh memberi kesan kepada politik tempatan dan negara,” katanya.
Terdahulu, Hajiji Noor pada Sabtu mengumumkan pengunduran BERSATU Sabah daripada gabungan tersebut, dan ahli-ahlinya akan menubuhkan parti tempatan baharu. -TVS