KUALA LUMPUR, 10 Dis: Hasrat beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk beraksi di final tertangguh lagi, selepas tewas dalam pertarungan separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, Thailand, hari ini.
Gandingan ranking kelapan dunia itu yang kecundang di peringkat sama edisi lepas, dikecewakan pasangan juara dunia tiga kali dan juara edisi 2019 dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-17, 13-21, 19-21, dalam permainan sengit selama 53 minit di Arena Nimibutr.
Di set pertama, Yew Sin-Ee Yi bermula garang dengan mendahului 12-5, namun mula melakukan kesilapan sehingga membenarkan gandingan keenam dunia itu bangkit, mengikat kedudukan 13-13 sebelum kembali menemui fokus dan rentak untuk menamatkan aksi dengan kemenangan 21-17.
Pengalaman jelas menjadi faktor pemisah yang membawa kepada kemenangan pasangan Indonesia dengan jolokan The Daddies itu, selepas mereka bangkit mendominasi set kedua dan ketiga untuk menempah tempat ke final sekali gus memburu gelaran kedua.
Kemenangan itu turut melebarkan rekod pertemuan mereka yang kini berpihak Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 4-1, manakala kekalahan itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi terlepas peluang mencipta sejarah menjadi wakil Malaysia pertama mara ke final sejak edisi sulung pada 2018. – TVS