KAPIT, 10 Dis: Pasukan komuniti yang bakal ditubuhkan bermula tahun depan akan memantapkan lagi peranan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak.
Pengarah APM Sarawak, Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Abdul Wahab Rahim berkata, ia merupakan salah satu kerangka strategi penting pasukan keselamatan itu dalam menyalurkan bantuan awal kepada masyarakat ketika ditimpa musibah.
“Saya menukar sedikit strategi iaitu setiap kampung mempunyai pasukan komuniti tersendiri yang terdiri daripada warga kampung itu sendiri. Kawasan yang berisiko akan dikenal pasti seperti kawasan yang sering berlaku kemalangan di sungai, laut dan kawasan banjir. Selain itu, maklumat yang diperoleh oleh pihak ibu pejabat akan diberitahu kepada pihak APM serta mereka segera turun ke lokasi. Itulah sedikit konsep strategi yang akan berlaku pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TVS pada hari ini sejurus mengadakan lawatan lapangan di beberapa daerah Wilayah Tengah termasuk Tanjong Manis, Sarikei, Matu-Daro dan Kapit.
Beliau berkata, konsep baharu itu bakal memperkasakan peranan anggota di peringkat komuniti kerana mereka bukan sekadar arif dengan persekitaran tetapi juga lebih dekat dengan masyarakat.
“Apabila kita melibatkan komuniti aktiviti sukarelawan dengan APM Sarawak bagi menguruskan bencana operasi, tindakan awal boleh dilaksanakan oleh mereka yang berada di lapangan yang lebih mahir dan pakar dalam kawasan tersebut. Konsep APM yang akan datang adalah mudah, kita memudahkan pasukan, bukan kita menyediakan pasukan dari pusat kawasan ke sana kerana ia mengambil masa yang lama dan konsep itu kurang berjaya,” katanya lagi.
Malah katanya, pertambahan aset APM tahun depan bukan sahaja boleh dimanfaatkan di lapangan tetapi juga memudahkan anggota menjalankan operasi jika berlaku sebarang kemalangan atau kecemasan.
Tambah beliau, setakat ini pihaknya menyasarkan kira-kira 46 pasukan komuniti APM di seluruh Sarawak melalui kekuatan yang pelbagai. – TVS