KUCHING, 10 Dis: Tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah keluar daripada parti tersebut dilihat sebagai satu keputusan yang sememangnya dinantikan oleh majoriti rakyat Sabah.
Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, tindakan itu akan menamatkan kekeliruan rakyat terhadap agenda Borneo yang ingin dibawa oleh parti tersebut.
“Secara peribadi saya menyokong keputusan ini kerana akan menyumbang kepada usaha GRS untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan lebih jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan > > > BERSATU tiada lagi, GRS gabungan parti Sabah sepenuhnya
GRS akan berhadapan dengan halangan dalam usaha memartabatkan MA63 di peringkat negeri sekiranya pemimpin BERSATU Sabah terus bersama parti itu.
Katanya lagi, keputusan ini juga akan menyumbang kepada kestabilan kerajaan Sabah.
Autonomi juga akan diraih untuk melaksanakan perkara-perkara yang berpaksikan kepentingan blok Borneo tanpa kawalan dari segi kepimpinan dan hala tuju parti.
“Apabila tiada kawalan dan tidak lagi berpaksikan kepada parti di Semenanjung Malaysia, semua perancangan akan berjalan dengan lancar, kita akan mempunyai autonomi untuk melakukan apa sahaja perkara melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Sabtu mengumumkan pengunduran BERSATU Sabah daripada gabungan tersebut, dan ahli-ahlinya akan menubuhkan parti tempatan baharu. – TVS