ISTANBUL, 10 Dis: Twitter akan mula memadam 1.5 bilion akaun yang tidak lagi aktif, pemilik baharu dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Elon Musk mengumumkan pada Jumaat.
“Twitter akan mula memadam 1.5 bilion akaun tidak lama lagi. Ia membabitkan akaun tanpa sebarang ciapan dan tiada log masuk selama bertahun-tahun,” menurut Musk dalam ciapan di Twitter, lapor Agensi Anadolu.
Langkah itu diambil susulan kenyataan Musk pada November lalu bahawa Twitter akan memadam akaun yang tidak aktif dalam tempoh 15 tahun menerusi ciapan “Sila ambil perhatian bahawa Twitter akan melakukan banyak perkara dalam beberapa bulan akan datang. Kami akan mengekalkan apa yang berfungsi dan mengubah apa yang tidak pada 9 November.”
Purata penggunaan harian di Twitter menjana 237.8 juta pada suku kedua, meningkat 16.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut penyata keputusan kewangan yang dikeluarkan pada 22 Julai.
“Peningkatan itu didorong oleh penambahbaikan berterusan dan ciapan global mengenai peristiwa semasa,” menurut kenyataan itu.
Sejak mengambil alih Twitter, Musk telah membuat perubahan kontroversi untuk syarikat media sosial itu, termasuk menarik balik kebenaran kerja dari rumah dan menamatkan perkhidmatan separuh daripada kakitangannya. – TVS