KUCHING, 10 Dis: Hujan lebat tidak menjejaskan kemeriahan Sunbear Music and Arts Festival 2022 yang dinanti-nantikan peminat berlangsung selama dua hari di Kampung Budaya Sarawak (KBS) mulai malam tadi.
Festival itu menyajikan pengunjungnya dengan pengalaman unik, menggabungkan muzik, seni dan fesyen.
Salah seorang pengunjung, Annabelle Rinjap Brin, 20, berkata, dia berasa teruja kerana bukan sahaja dia diberi peluang untuk menyaksikan persembahan artis kegemaran secara fizikal, ia juga memberi peluang untuknya melihat persembahan dari artis lokal serta antarabangsa.
“Ini merupakan satu pengalaman yang menarik kerana bukan sahaja saya dapat melihat persembahan artis lokal, tetapi juga dari luar negara,” katanya kepada TVS.
Bagi abangnya, Aaron Laja Brin, 23, sambutan hari pertama acara itu adalah tidak mengecewakan.
“Saya berkesempatan untuk menyertai program E-Sports Bay pada petang, ia sangat menyeronokkan walaupun hujan lebat,” katanya.
Bagi Azizi Abdul Rahman, 22, dia berharap agar acara seperti itu dianjurkan lagi pada tahun yang akan datang bagi menghimpunkan peminat muzik, seni dan fesyen.
Sunbear Music and Arts Festival diadakan mulai 9 Disember hingga 10 Disember dengan menjemput lebih daripada 43 artis tempatan serta luar negara, antara yang dinantikan adalah Bunkface, The Red Jumpsuits Apparatus, Ramengvrl, Phum Viphurit dan banyak lagi.
Selain persembahan konsert, pengunjung juga boleh menyertai aktiviti lain seperti ‘Showreel’, Seni Ruai Kita, Vibin Session at Sunbear, Yoga Bear dan Music Symposium. – TVS