KUALA LUMPUR, 10 Dis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak mahu Sarawak dikenali sebagai ‘Hidden Gem’ di ASEAN lagi.
Katanya, Sarawak mempunyai kemampuan untuk menjana tenaga melalui sumber yang boleh diperbaharui yang kini menjadi tumpuan seluruh dunia dalam menangani masalah perubahan iklim.
“Saya percaya Sarawak mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk menyalurkan tenaga hijau kepada negara-negara dalam ASEAN.
“Kita akan mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus penjanaan tenaga melalui sumber yang tidak mencemarkan alam sekitar menjelang 2030,” katanya di Majlis Anugerah International Business Review (IBR) ASEAN 2022 di Sama-Sama Hotel, Sepang, semalam.
Beliau berkata, sejak 2010 sehingga 2020, Sarawak telah menyahkarbonkan sistem penjanaan tenaga lebih daripada 70 peratus dan telah pun menyalurkan tenaga hijau ini kepada Kalimantan Barat sejak 2016 yang akan berterusan sehingga hujung tahun 2023.
Pada masa sama, Abang Johari juga berkata, Sarawak telah memberi fokus lebih kepada penjanaan tenaga berasaskan hidrogen hijau selain tenaga hidro yang kini menjadi penjanaan utama tenaga bersih di Sarawak.
“Memandangkan pasaran tenaga hidrogen semakin mendapat perhatian global, saya percaya Sarawak juga akan menjadi salah satu lokasi yang akan menjana tenaga hijau yang lebih lestari dalam masa yang terdekat.
“Menjelang 2027, Sarawak akan menghasilkan 220,000 tan tenaga hidrogen hijau sejurus apabila loji hidrogen siap nanti,” tambah beliau.
Abang Johari juga menambah Sarawak sedang dalam proses untuk memastikan pelaksanaan polisi yang mampan bagi mengawal pelepasan karbon hutan melalui inisiatif Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Ini juga adalah salah satu daripada usaha untuk menaikkan nama Sarawak sebagai pemain utama dalam pertumbuhan ekonomi di rantau ASEAN dan Asia Timur, termasuk Korea Selatan dan Jepun. – TVS