KUCHING, 9 Dis: Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan ilmu falak dalam kalangan generasi muda, sebuah Pusat Falak akan dibina di sini dengan kos kira-kira RM100 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata cadangan pembinaannya dikemukakan oleh Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin dan beliau menyokong penuh cadangan itu.
Menurutnya, kerajaan Sarawak menyokong apa-apa perancangan, pengelolaan dan pelaksanaan aktiviti untuk memajukan bidang astronomi di negeri ini.
“Kerajaan memperuntukkan dana yang besar dalam penubuhan Pusat Falak di Miri dan Bintulu. Ini kerana kita mahu anak-anak kita mendapat ilmu dan pendedahan terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Falak Peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.
Dalam pada itu Abang Johari berharap agar wawasan ummah ini dapat direalisasikan melalui usaha dan peranan yang dilakukan oleh Jabatan Mufti Sarawak dan Majlis Islam Sarawak.
“Kita berdoa dan berharap agar seminar kali ini akan memberikan manfaat dan faedah untuk agama dan ummah demi untuk melestarikan ilmu falak dan sekaligus mengangkat dan menjulang martabat ummah,” ujarnya lagi.
Bertemakan ‘Melestarikan Ilmu Falak, Mengangkat Martabat Ummah’ seminar kali ini sangat signifikan untuk memastikan hala tuju Jabatan Mufti Sarawak sebagai rujukan utama di Sarawak dalam bidang fatwa dan falak.
Jabatan Mufti Sarawak berusaha sebaik mungkin untuk memainkan peranan penting dengan menganjurkan program pendidikan, penyelidikan dan aktiviti dalam pelbagai mod yang dapat menarik masyarakat untuk menyertai khususnya di kalangan generasi muda. – TVS