KUCHING, 9 Dis: Berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir program Getaran Jiwa, Afif Tenor melahirkan rasa bersyukur serta teruja.
Lebih menggembirakan apabila Afif Tenor mendapat komen positif dan pujian dari Mami Jiwa Panas Getaran Jiwa, Mas Idayu atau lebih mesra disapa Mummy.
“Apabila Mummy memberi penilaian kepada saya dengan menyatakan vokal saya adalah yang terbaru di Malaysia di mana maksudnya, vokal ini merupakan sesuatu yang belum dijumpai di Malaysia, saya berasa sangat gembira.
“Tetapi pada masa sama, ia menjadi semangat dan usaha untuk saya dalam menyelami kebolehan saya, identiti, penghayatan dan genre agar saya boleh belajar lebih banyak lagi,” katanya.
Afif pada masa sama berkata cabaran pada minggu akhir ialah apabila peserta lain diberi masa yang singkat untuk menyediakan lagu mengikut susunan yang mereka kehendaki dan perlu dipersembahkan pada Jumaat, 9 Disember kelak.
Afif Tenor merupakan peserta tunggal dari Sarawak dan mara ke peringkat akhir melalui kejayaannya di peringkat separuh akhir kedua dan minggu kelima.
Afif Tenor bakal berentap dengan Santiana Ramli, Ameem dan Aruel Ariel untuk merebut gelaran juara Getaran Jiwa beserta trofi dan hadiah wang tunai RM30,000.
Saksikan Konsert Akhir Getaran Jiwa pada Jumaat, 9 Disember jam 8:45 malam di TVS saluran 122 Astro dan MYTV.
Konsert Akhir Getaran Jiwa bakal berlangsung di Stadium MBKS, Bintawa dan pintu dibuka seawal 7:00 malam. – TVS