Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Pemilihan Timbalan Menteri merangkumi pelbagai kaum cermin perpaduan – Nanta

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 8 Dis: Pemilihan Timbalan-timbalan Menteri yang merangkumi pelbagai kaum akan mencerminkan perpaduan di negara ini di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata barisan pemimpin daripada etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan/Kenyah, Melanau serta Iban ini juga harus diberikan peluang untuk bersama-sama terlibat dalam Kabinet Persekutuan.

Pemilihan timbalan menteri merangkumi pelbagai kaum cermin perpaduan

Menurutnya, Ahli Parlimen daripada komuniti Cina Sarawak juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri. Ini termasuklah calon daripada DAP.

“Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai kaum yang saya sebutkan ini jelas berkebolehan dan sudah berkhidmat selama beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen dan Senator.

“Hampir semua mereka pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri dan salah seorang daripada mereka juga pernah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

“Atas dasar itu, pengalaman luas barisan pemimpin ini perlulah dilihat sebagai pertimbangan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata lagi, antara Ahli Parlimen yang boleh diberi pertimbangan termasuklah Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib, Ahli Parlimen Baram Dato Anyie, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodi.

Sehubungan itu, beliau memahami Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk memilih dan memutuskan sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk menjawat jawatan Timbalan Menteri.

“Bagaimanapun, sebagai pemimpin yang mewakili etnik Dayak di dalam GPS, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membawa sentimen dan harapan masyarakat Dayak Sarawak ke Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau juga percaya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkongsi pandangan sama mengenai perkara ini.

“Kejayaan cemerlang Abang Jo dalam menerajui Sarawak adalah kerana gaya dan cita rasanya yang inklusif dan tentunya pemahaman sepenuhnya tentang hakikat bahawa Sarawak adalah negeri yang sarat dengan kepelbagaian meliputi aspek kaum, bahasa, budaya, agama dan komposisi,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan