Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: Firdaus Ismail (TVS)

SPR lihat kemungkinan panjangkan tempoh melebihi 60 hari untuk adakan pilihan raya

ByBernama

KULIM, 8 Dis: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melihat kemungkinan memanjangkan tempoh untuk mengadakan pilihan raya melebihi 60 hari selepas pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sepertimana yang diperuntuk ketika ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata perkara itu bagi membolehkan suruhanjaya berkenaan melakukan persiapan sebaik mungkin berikutan pertambahan jumlah pengundi yang banyak setiap tahun di negara ini.

“Kita akan cuba panjangkan lagi sebab tempoh sekarang ini (60 hari), daripada dahulu hingga sekarang agak sempit (suntuk) sikitlah dengan keadaan jumlah pengundi yang banyak iaitu daripada 14.9 juta sebelum ini meningkat kepada 21.1 juta.

“Kita juga kena ingat pengundi berusia 18 tahun ini tiap-tiap tahun akan bertambah sebanyak setengah juta, jadi (jumlah pengundi) akan bertambah dan terus bertambah,” katanya pada sidang media, Rabu malam.

Terdahulu, beliau hadir ke pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Menjelas lanjut, Abdul Ghani berkata berikutan peningkatan jumlah pengundi, SPR perlu melakukan persiapan termasuk menyediakan pusat dan saluran mengundi serta petugas agar proses pilihan raya dapat dilaksana dalam keadaan selesa.

Beliau juga berkata pihaknya berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

“Ia akan memudahkan petugas kita, memudahkan kita membuat penyelarasan, itu yang terbaik tapi dari segi kos, sama juga,” katanya.

Ditanya waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan, Abdul Ghani berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam hal itu dan ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.

Beliau juga berkata pilihan raya bagi keenam-enam negeri dianggarkan menelan belanja kira-kira RM450 juta.

Abdul Ghani berkata secara keseluruhan, proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi agak baik.

“Secara keseluruhan saya lihat untuk PRU-15, peratus keluar mengundi ialah sebanyak 74.71… satu gambaran masyarakat kita mengambil tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan