KULIM, 7 Dis: Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin merampas kerusi Parlimen Padang Serai dengan bergaya apabila menang dengan majoriti 16,260 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hari ini.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Bari Abdullah selepas proses penjumlahan undi selesai kira-kira pukul 10.50 malam di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.
Azman memperoleh 51,637 undi dengan meninggalkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi.
Dua calon yang menarik diri bagi memberi laluan kepada calon PH iaitu Datuk C. Sivaraj dari Barisan Nasional (BN) memperoleh 2,983 undi dan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Mohd. Bakri Hashim mendapat 149 undi.
Sementara itu, calon Pejuang, Hamzah Abd. Rahman mendapat 424 undi dan calon Bebas, Sreanandha Rao memperoleh 846 undi.
SPR mengumumkan peratusan keluar mengundi sebanyak 68.95 peratus dan 753 undi ditolak.
Antara pemimpin PN yang hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut hadir bagi memantau proses penjumlahan undi.
PRU-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai diadakan hari ini selepas ditangguhkan apabila calon PH yang juga penyandang, M. Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan calon Warisan dan BN menarik diri lebih awal bagi menyatakan sokongan kepada calon PH.
Pada PRU-14, kerusi berkenaan dimenangi Karupaiya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 8,813 undi apabila memperolehi 31,724 undi.
Beliau mengalahkan calon Pas, Muhamad Sobri Osman yang mendapat 22,911 undi dan calon BN, Datuk Dr. Leong Yong Kong (15,449 undi). – TVS