MIRI, 7 Dis: Setelah dua tahun ditunda akibat pandemik COVID-19, Jambori 4×4 Antarabangsa Sarawak Edisi Kelima 2022 akan diadakan selama empat hari mulai 13 sehingga 16 Disember ini, di sini.
Penggemar pengembaraan alam boleh berkongsi bersama-sama keseronokan meredah denai dan trek luar jalan yang lasak sambil menikmati keindahan warisan semula jadi, budaya dan sejarah asli yang ditawarkan oleh Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting, objektif acara itu diadakan bagi menjadikan Sarawak sebagai destinasi pengembaraan alam yang utama dengan keseronokan aktiviti luar dan kepelbagaian budaya Sarawak.
“Objektifnya adalah untuk menunjukkan kepada peserta kami, warga tempatan dan antarabangsa, Sarawak menawarkan aktiviti luar yang hebat dengan budaya kita yang kaya dan kepelbagaian, menjadikan Sarawak destinasi pengembaraan alam utama.
“Dengan sokongan Kementerian Pelancongan, kerajaan tempatan dan pihak berkuasa berkaitan, Imigresen, Kastam dan juga Pejabat Residen kita berharap dapat menjadikan acara ini memberi impak besar mewujudkan dan menjana peluang ekonomi mikro untuk kawasan tersebut pada masa hadapan,” katanya ketika mengadakan sidang media hari ini.
Acara ini menerima sebanyak 350 penyertaan dengan 136 pacuan empat roda (4WD) dari dalam dan luar negara seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Jerman, Kanada dan Hungary.
Ujarnya, penyertaan dari negara luar juga akan dapat membantu untuk mempromosikan Sarawak dengan lebih efektif apabila peserta terlibat merakam pengalaman mereka sepanjang acara itu.
“Sudah pasti mereka akan merakam gambar dan video dan berkongsi pengalaman apabila mereka kembali ke negara asal. Ini adalah salah satu cara untuk mempromosi pelancongan budaya, kumpulan etnik dan penduduk tempatan yang kita ada,” katanya.
Acara ini akan berlangsung di bahagian Utara Miri merangkumi jarak perjalanan sejauh 500 kilometer merentasi Miri, Beluru, Marudi/Baram dan Telang Usan.
Landasan yang akan dilalui oleh peserta merangkumi laluan jalan masuk melalui Pekan Lapok, Long Sobeng ke kawasan Long Aton melalui beberapa landasan kayu yang tidak digunakan di kawasan Baram hingga Dataran Tinggi Ulu Dapoi. – TVS