KUCHING, 7 Dis: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengumumkan senarai timbalan menteri dalam masa terdekat.
Pada Jumaat lepas, beliau mengumumkan menteri-menteri kabinetnya yang terdiri daripada 28 kementerian.
Ia disusuli dengan majlis mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu lepas.
Anwar, menerusi catatannya di Facebooknya hari ini, bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai pelantikan timbalan menteri.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa isu-isu rakyat seperti kos sara hidup harus diberi tumpuan dan akan diselesaikan segera.
Beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet mingguan di Putrajaya, hari ini.
Dalam satu lagi catatan, Anwar berkata beliau terbuka menerima cadangan yang lebih baik dalam membantu pesawah miskin di seluruh negara dan tumpuan kerajaan ketika ini adalah menggunakan kuasa untuk membela kepentingan rakyat terutamanya pesawah miskin.
“Kalau ada pihak lain yang ingin menyanggah usaha kerajaan dalam membantu pesawah miskin, pihak tersebut dipersilakan mengusulkan alternatif. Saya terbuka menerima cadangan yang lebih baik,” katanya. – TVS