KUCHING, 7 Dis: Rabies meragut satu lagi nyawa di Sarawak dengan kematian terkini membabitkan warga emas pada 5 Disember lalu di Hospital Sibu.
Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata lelaki berusia 60 tahun itu disahkan rabies melalui ujian makmal dan didiagnosis sebagai rabies encephalitis.
Dengan kes terbaharu itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak merekodkan 11 kematian akibat rabies dan 14 kes rabies dalam kalangan manusia setakat 6 Disember.
Menerusi kenyataan media hari ini, Dr Ooi berkata mangsa terbaharu itu mengalami gejala jangkitan rabies bermula 26 November 2022.
Mangsa juga pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan pada 1 Disember 2022 apabila gejala bertambah teruk termasuk kesukaran menelan makanan dan minuman.
“Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. Mangsa tidak mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh anjing.
“Bagaimanapun, beliau didapati pernah mengendalikan bangkai anjing pada Oktober 2022. Status rabies bagi haiwan-haiwan tersebut tidak dapat dipastikan,” katanya.
Bagi mengelakkan rabies, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menasihati orang ramai agar segera melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak jika haiwan peliharaan mereka berubah tingkah laku sama ada menjadi ganas atau muram serta elakkan menangkap, menyentuh atau membunuh haiwan tersebut.
Orang ramai juga dinasihati tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar, sama ada yang hidup atau telah mati. Laporkan terus kepada pihak DVS Sarawak untuk siasatan lanjut.
Jabatan Kesihatan turut menasihatkan agar orang ramai memastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan anti-rabies setiap tahun agar dilindungi dari jangkitan virus rabies. Suntikan vaksin rabies pada anjing akan mengelakkan manusia daripada dijangkiti rabies.
“JKN Sarawak akan terus berusaha dan memastikan agar rawatan bagi luka gigitan anjing dan pemberian vaksin anti-rabies kepada penduduk yang terkesan mudah dicapai,” katanya. – TVS